Saturday, October 2, 2010

Artis bertemu di rumah Hans Anuar

Barisan artis dan DJ bergambar ramai bersama Hans Anuar (dua kanan)


Amalan kunjung mengunjungi ke rumah saudara-mara, rakan dan teman menerusi 'rumah terbuka' sememangnya satu amalan mulia yang bukan saja dapat menambah keceriaan suasana malah mendekatkan lagi jalinan silaturahim.

Sepertimana keluarga lain yang menganjurkannya, sebilangan artis tanah air tidak ketinggalan mengadakannya sebagai tanda kesyukuran termasuk penyanyi tersohor Hans Anuar.
Majlis yang berlangsung dari pukul 5 petang hingga 11 malam itu menyaksikan betapa kemeriahan Hari Raya masih dirasai sehingga kini.

Antara rakan artis yang hadir termasuk Joe M, Faiz Nawi, Milin, Adeb P2F, Juju, Putri Norizah, pemuzik dari kumpulan Titans, Wave Band, kakitangan Greencity (Penganjur P2F) dan barisan juruhebah radio Pelangi FM.

Keakraban persahabatan yang terjalin di kalangan yang hadir ini jelas menggambarkan betapa sikap toleransi kesefahaman serta saling hormat menghormati adalah kunci sebuah perpaduan.

Selain tetamu dihidangkan dengan jamuan istimewa, majlis rumah terbuka ini juga memberi peluang mengetahui perkembangan Hans Anuar dan syarikatnya, Phuturephase Production.

Artis yang segak bersama pakaian cara Melayu itu berkata, beliau kini agak sibuk dengan beberapa perkembangan melibatkan artis tanah air yang berada di bawah label syarikatnya, termasuk pendatang baru seni suara Meerul Esham.

Begitu juga dengan Faiz Nawi yang bakal muncul bersama kumpulan The Titans menerusi sebuah album ciptaan penuh kugiran itu dan Faiz sendiri seperti Aku Tetap Cinta.
Artis senior syarikat berkenaan, Putri Norizah juga dikhabarkan akan tampil kembali bersama single terbarunya, Gundah, sebuah lagu terbaru ciptaan Hans Anuar.

Menurut Hans Anuar, projeknya bersama syarikat rakaman lain negara ini yang bakal direalisasikan nanti adalah bertujuan memberi pandangan yang lebih luas dan pengalaman bekerja bersama penerbit yang ada.

No comments:

Post a Comment